Memaparkan catatan dengan label Syukur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Syukur. Papar semua catatan

Isnin, 16 Disember 2019

3rd born :: Part 2 :: Khalifah Kecil Yang Dinanti 💖

Bersambung...


Pada tarikh 17 November 19, lebih kurang jam 9 malam aku mengalami contraction yang agak kuat, berselimut habis seluruh badan dibuatnya. Walaupun contraction agak kuat tapi aturannya tak sekata, jadi aku tak nak ke hospital lagi, kalau belum betul2 keluar tanda nak bersalin memang buat penat je menunggu kat bilik rawatan tu. Tahan sakit kat rumah jela dulu, selalunya kalau sakit tak sekata ni, nanti dalam 2 - 3 jam camtu hilanglah. Tapi kali ni, Tunggu punya tunggu sampai ke pagi juga sakit tu melanda tak hilang cumanya rasa sakit tu sedikit berkurang. 

Malam tu, aku dah call my little brother Sadiq yang study kat UKM untuk datang tidur kat rumah, bimbang juga Jika air ketuban pecah awal2 pagi, sekurang2nya boleh la dia tengok2kan Budak2 ni kat rumah sementara hubby hantarkan aku ke hospital. Opah pun dah pesan, budak2 tu hantar jela kat rumah dia kalau nak pergi hospital, tapi aku malas nak hantar diorang rumah Opah, biar jela diorang duk rumah, lagipun bukan dekat2 juga nak pergi ke Pelangi Semenyih 2 pastu nak patah balik ke Putrajaya pulak, silap hari bulan boleh terberanak dalam kereta nanti. So pilihan terbaik minta paksu diorang je yang jaga sekejap. Seboleh2nya aku tak nak menyusahkan sesiapa. That's my attitude, mungkin terikut2 perangai arwah ummi. Selagi boleh tanggung sendiri, diam2 sendiri sudah. 

Lepas subuh tu, sakit dah semakin berkurang, aku terpaksa solat Subuh di kerusi kerana keadaan kaki yang semakin membengkak, dah macam kaki gergasi aku rasa, nak angkat pun rasa berat semacam. Banyak pulak sakit yang datang untuk pregnancy kali ke 3 ni. Dulu tak pernah2 pun aku mengalami bengkak kaki seteruk ni, walhal masa tu aku berkerja, lagi banyak bergerak ke sana ke mari & panjat tangga bertingkat2 untuk building inspection. Sekarang duk rumah je pun, mungkin faktor usia yang semakin meningkat agaknya. Aduhaai dah semakin tua rupanya. Betullah kata orang, lain anak, lain ragamnya, makin tua makin banyak risiko nak mengandung. Moga Anak2 ibu menjadi penyejuk mata & penenang hati ibu ye. Amin.

Pagi2, kat rumah ni mesti ada sarapan, paling simple pun roti & telur goreng atau Telur separuh masak, tapi aku da tak larat nak prepare-kan sarapan, jadi aku minta hubby belikan roti canai kat luar je. Kebetulan haritu, semua kedai roti canai yang biasa kitorang makan tutup pulak, sian hubby, sampai ke Jenderam Hilir dia pusing cari kedai roti canai. Nasib baik ada kedai yang bukak, sempatlah aku bantai 2 roti canai kosong & separuh roti telur. Walaupun aku tau berat baby  semakin bertambah tapi nafsu makan tetap maintain... Hihihi

Tak lama lepas makan tu, contraction datang lagi, Oleh kerana sakit sudah berlarutan dari semalam jadi hubby cakap better-lah ke hospital terus. Jadi kami bersiap2 pagi tu untuk ke HPJ. Sebaik masuk ke bilik rawatan, aku di minta untuk berbaring di bed untuk cex jantung baby & tekanan darah. 


Alhamdulillah jantung baby ok, cuma tekanan darah aku agak tinggi sampai 150, tak pernah2 tekanan darah aku naik setinggi tu, Nurse ingatkan aku ada darah tinggi sebelum ni, bila dia cek buku merah OK je katanya. Mungkin sebab aku sakit dari semalam & tak cukup tidur menjadi punca tekanan darah naik mendadak. Nurse suruh berehat dulu, nanti dia datang balik untuk amik bacaan lagi. 

Tak lama kemudian datanglah doktor untuk cex laluan... "dah bukak laluan 3cm" katanya. Kemudian aku dipanggil masuk ke bilik lain untuk scan Baby. Part paling menyeramkan adalah bila doktor cakap saiz baby awak ni besar ni, est 3.9kg !!! Awak kene operate ni. Terus rasa sebak sampai ke dada, terkedu seketika, perkara yang paling aku tak nak dengar akhirnya semakin dekat & hampir menjadi kenyataan. Doktor tanya saiz baby sebelum ni berapa kilo. Aku bagitaulah Nuha 3.25 kg dan Auliya cuma 3.0 kg, setakat ni belum Ada yg lebih 3.50 kg. Nampaknya peluang untuk operate semakin tinggi. Doktor minta aku panggil hubby masuk untuk memberitahu keadaan aku dan seterusnya membuat keputusan dalam tempoh setengah jam sebab bukaan sudah 3cm, anytime aku boleh bersalin. 

Setelah mendengar penjelasan doktor, Hubby bersetuju untuk aku menjalankan operation, tapi aku masih lagi blur & tak dapat berfikir secara waras apa yang perlu aku buat, apekah hanya bersetuju untuk jalankan operation atau sebaliknya. Dari penjelasan yang diberikan kedua-dua procedure samada operation atau normal masing2 mempunyai risiko yang tinggi untuk aku. Kerana slip disk aku berada pada L4/L5 maka bius separuh badan tidak dapat dilakukan, Oleh itu aku terpaksa dibius sepenuhnya. Kemudian dengan history low blood pressure & darah cair pula, kemungkinan untuk aku sedar selepas operation & juga tempoh untuk pulih sepenuhnya mungkin akan mengambil masa yang agak lama. Aku mungkin berada di wad sekurang2nya seminggu ke 2 minggu atau lebih, bergantung kepada tahap pemulihan. Tetapi jika aku memilih untuk bersalin normal pula, risiko untuk baby tersangkut bahu adalah tinggi, kerana bahu baby adalah besar dari biasa untuk ibu yang ada kencing manis kata doktor. Risiko untuk baby lemas & kemungkinan ibu mengalami tumpah darah juga sangat tinggi.

Dua orang doktor consult aku masa tu. Operation akan dilakukan segera jika aku bersetuju & sign surat kebenaran. Walaubagaimanapun aku minta sedikit masa untuk melakukan solat istikharah sebelum apa2 keputusan dibuat. Jam masa tu menunjukkan 12.30 T/hari. Doktor minta aku solat di biliknya saja.

Sebaik saja mengangkat takbir, airmataku berguguran deras bak hujan yang turun sepertinya saat itu adalah saat2 terakhir dalam hidupku. Sedih, takut, putus harapan, semua perasaan itu berhimpun di dadaku. Kini aku serahkan segala pengharapan hanya kepada Dia, bantulah ya Allah. Terasa sungguh lemah & tiada upaya diriku atas segala takdir yang bakal dilalui. Istikharah itu adalah solat yang paling indah dalam hidup, sebulat tekad & harapan hanya mengharapkan belas ehsan daripadaNYA semata-mata. Seusai bangun dari sujud setelah segalanya aku luahkan kepada DIA, sungguh terasa sebuah ketenangan & semangat diri tiba2 hinggap di jiwaku. Allahurobbi sesungguhnya DIA Maha Mendengar & Maha Mengasihani kepada setiap hamba2NYA.

Azan zuhur pula berkumandang, aku bangun dan terus solat zuhur. Mana lah tau jika itu adalah solat zuhurku yang terakhir. Nurse beberapa kali memanggil namaku dari luar. Selepas solat aku keluar & bertemu doktor. Dengan penuh yakin aku menjawab pertanyaan doktor. Jawabku tenang "Saya rasa, saya boleh bersalin normal & saya nak bersalin normal" doktor tanya aku beberapa kali "are you sure?" Dan jawapan aku tetap sama. Kemudian dia menepuk bahuku dan berkata "Good Luck" sambil tersenyum dan berlalu keluar.

Kemudian doktor pelatih mengarahkan nurse untuk mengambil darahku & juga memasang line di tangan kerana aku akan terus ke wad.


Sambil mencucuk jarum ke tangan kiriku, sempat lagi nurse memberikan kata2 semangat untuk aku, kerana tadi, dia pun Ada bersama ketika aku memberitahu doktor yang aku decide untuk bersalin normal.

Kata dia "Allah yang berikan semua pada kita puan, susah pun dari Allah, mudah pun dari Allah, InsyaAllah kalau puan yakin puan boleh bersalin normal InsyaAllah boleh, kita ni ibu, Allah bagi kita hati untuk kita rasa, ikutlah apa kata hati puan, selebihnya berserahlah pada Allah".

Kata2nya itu ringkas tetapi begitu dalam maknanya, ia benar2 membuatkan hati aku bertambah teguh dengan keputusan yang aku lakukan, sepertinya Allah  sedang menghantarkan mesej melalui hambanya untuk disampaikan kepadaku bagi menjawab segala luahan dalam istikharahku sebentar tadi. Allahurobi. Sesungguhnya Engkau dekat! 

"Nikmat Tuhanmu yang mana lagi, yang ingin engkau dustakan?"

                                 
My katil 


Warded 18/11/2019 @ 2pm


View SPRM dari tingkap bilik


Ok juga bilik berdua ni. My Roommate ni Chinese yg sangat peramah & petah berbahasa Melayu. Kandungan dia pun sudah masuk 39 minggu tetapi saiz baby pula agak kecil estimate hanya 2.50 kg saja. 


Depan tu toilet, sangat dekatkan 👍


Perabut yang disediakan di bilik. 

Sekitar jam 2pm aku di tolak naik ke wad bersalin di blok D. Memandangkan bilik single full, Yang available hanya bilik berdua. Maka aku di masukkan di katil di tepi tingkap. Akhirnya perancangan Allah tu mengatasi segala kehendaki kita, mungkin itulah yang terbaik, aku dah malas nak fikir apa2 lagi. 


Kuih minum petang pertama di wad. 

Tak lama kemudian, Hubby naik hantarkan Barang2, beg & sebungkus nasi kandar LAN Kedah. Dari senyuman hubby tu, aku tau dia sangat faham yang isteri dia ni cekal hatinya & kuat tekadnya. Terima kasih kerana sangat memahami. Kami berbual seketika, menguatkan hati atas segala kemungkinan & risiko yang bakal aku lalui. sebelum balik aku minta hubby doakan moga dipermudahkan segala urusan & memohon maaf atas segala kesilapan selama ini. Kita ini hanyalah seorang manusia yang serba kekurangan. 

Petang tu beberapa orang doktor yang bertugas di wad datang lagi. Bertanya keadaan aku & explain benda yang sama juga. Mungkin doktor nak aku hadam secukupnya segala risiko yang bakal dihadapi jika aku tetap dengan keputusan untuk bersalin secara normal. Aku just dengar  je dan kemudian memberi jawapan yang sama. 

Lebih kurang 6.30 ptg hubby sampai. dengan bawak air kelapa sebotol & juga barang2 keperluan. Hujan renyai2 petang tu, hubby datang dengan motor, Nuha & Nufa tinggal kat rumah je berdua. Aku sempat buat video call kat diorang, mula2 tu  si kecik Nufa happy je nampak, tengok cerita karton Umar Hana sambil makan ayam goreng dengan kakak dia, tapi tak lama Lepas tu sedih pulak dia, menangis teresak-esak sampai berjejeh hingus keluar. Ya Allah sayu je hati ibu ni rasa. Ibu pun sedih tinggalkan adik, ibu doakan  moga semuanya selamat & ibu cepat2 bersalin & dapat balik rumah dengan baby skali.

Bila dah tengok Nufa makin lama menangis tak henti-henti sampai teresak-esak, aku suh hubby balik dulu, kesian dia, nanti demam susah pulak, sudahnya memang demam pun si kecik tu. Tak pernah lagi aku tinggalkan dia sejak dari kecik. Inilah 1st time kene tinggal, baru beberapa jam kene tinggal terus demam anak ibu.

Nuha pun cakap dia sedih juga, rindu kat ibu, tak best bila ibu takde katanya. Siap wasap ibu lagi. Tiba2 ibu pulak yang rasa nak menangis.


Perasaan yang serupa hadir ketika malam pertama arwah Umi tiada (Dejavu), Aku masih ingat bila aku tidur sambil memeluk baju arwah yang belum dicuci. Semua orang marah kepadaku masa tu, Opah pun sama, tapi Mereka tidak tahu ape yang aku rasa, aku cume menangis sendiri menahan rindu yang tak terluah, tanpa bebicara dengan sesiapapun. Arwah ummi adalah teman yang paling rapat, terlalu awal dia meninggalkan aku, walaupun sudah bersuami, tetapi aku tetap inginkan arwah ummi ada bersamaku hingga ke hari tua ku. Tetapi aturan Allah mengatasi segala kehendak kita. 

Walaupun kadang2 perangai Nuha tu buat ibu rasa geram je tapi most of the time Nuha banyak tolong ibu jagakan adik Nufa. Tolong suapkan adik makan Walaupun selalu usik adik sampai tumpah segala makanan atas lantai. Selalu juga tolong ibu cuci pinggan mangkuk Walaupun 1000x nak kene ibu ingatkan "Nuha, sudah makan tu cuci pinggan, lap meja" selalu juga tolong ibu vacum rumah & sidaikan baju Walaupun senget benget & bergumpal2. Ibu hargai semua yang Nuha buat, ibu doakan semoga hidup Nuha sentiasa dalam Rahmat & pemeliharaan Allah & jadi hamba Allah yang Solehah serta dipermudahkan segala urusan dunia & Akhirat. 

Sekitar jam 10 malam aku dah bersiap2 nak tidur, tiba2 datang pula beberapa orang nurse, doktor & surgeons yang bertugas malam tu. Dia bertanya keadaan aku & keputusan akhir samada nak operation atau normal. Tapi cara penerangan yang diberi 50/50, tidak terlalu mendesak untuk melakukan operation  & tidak pula menghalang untuk aku cuba bersalin normal.

Doc pakar tu cakap "kite beri peluang untuk puan cuba bersalin normal jika kita tengok tiada progress yang baik, kita akan buat emergency ceaser katanya. Puan solat & berdoalah mudah2n selamat bersalin dengan baik, sujud lama2" katanya. Aku hanya senyum & menyambut nasihat doktor pakar tu dengan ucapan terima kasih. 

Sebelum tidur aku call hubby, bagitau apa yang surgeons bagitau, hubby pun yakinkan aku InsyaAllah boleh bersalin normal. Alhamdulillah bertambah lega hati mendengarnya. Opah & Maksu pun ada call juga malam tu. Banyak nasihat & kata2 semangat yang diberikan. Syukur ke hadrat Allah Kerana hadirkan untukku insan2 yang sangat prihatin & sentiasa support atas setiap perkara, dalam susah mahupun senang. 

Sekitar jam 11.20pm, aku mulai berasa sakit (mild contraction), sambil berbaring di bed tu aku berbisik perlahan kepada diri sendiri "Malam ini, aku maafkan semua kesalahan manusia terhadapku, samada kesalahan kecil mahupun besar, aku halalkan segala hutang2 Mereka yang berhutang kepadaku, keranaMU , Ya Allah ampunkanlah aku & permudahkanlah urusanku"

Kemudian nurse datang untuk mengambil tekanan darah. Tengok keadaan aku tu nurse dah agak aku sedang menahan sakit. Dia pun duduk di sebelah aku sambil meletakkan tangannya ke perut. "Agak kuat juga contraction ni, dah lama ke sakit ni?"  Tanya nurse kepadaku, "Baru je sakit, tapi masih boleh tahan" jawabku ringkas, tak sampai beberapa minit tiba2 rasa sakit mendadak kuat & air ketuban pecah "poop".

Nurse yang tadi tu terus memanggil rakan2 yang lain, dia terus cek laluan. Dah terbuka 5cm katanya, kemudian nurse yang cex laluan tadi cakap dia akan bantu aku untuk mudahkan bersalin, pastu dia masukkan jari sekali lagi kat dalam & twist, ya Allah sakit macam kene gunting hidup2, bercucur darah atas bed, ubat berak pun dicucuk kat bontot, terus rasa nak berak tapi bila masuk duduk nak berak, tak keluar ape2 pun, nurse tu boleh pulak tunggu aku nak berak kat dlm toilet, tapi aku minta dia tunggu kat luar je, 2 - 3x aku minta dia tunggu di luar, barulah dia keluar, katanya risau tinggalkan aku dalam sorang2, takut bersalin kat toilet. Tqvm nurse atas keprihatinan anda. 

Lebih kurang jam 12 pagi aku di tolak ke labor room. Sambil tolak tu, nurse bacakan doa nabi Yunus berulang2 kali. Bagus2 nurse yang bertugas malam tu, baik2 semuanya. 

Sampai je di labor room, aku kena baring untuk cex laluan lagi, ok dah 6cm. Hubby belum sampai lagi, sebelum turun ke labor room tadi aku dah call hubby bagitau yang aku da nak masuk labor room. Mungkin hubby tunggu Sadiq sampai rumah dulu coz anak2 dah tidur.

Rasa sakit sebenar bersalin telah datang,  Allahurobbi terasa berat sakit nya kalini,  aku berpusing ke kiri & ke kanan untuk betulkan kedudukan pinggang & tulang belakang yang semakin menekan kuat.

Nurse bagitau aku supaya sedut benda macam mask tu kalau sakit sangat. Tapi aku hanya menggelengkan kepala. Takpelah aku nak menikmati rasa sakit ni walaupun hanya Allah saja yang tau bebannya. Dalam menahan sakit yang tiba2 datang tu, aku dapat rasakan baby sudah mulai turun ke bawah. Aku bagitau nurse baby dah turun bawah. Pastu nurse cek, bukan dah 10cm Dan kepala baby dah nampak. Maka menjerit2lah nurse tu panggil doktor, sebab kes aku ni mesti doktor yang lead & beri order. Nurse2 duduk dikeliling katil kiri & kanan, Ada yang pegang kaki, Ada yang berikan kata2 semangat untuk aku push baby keluar, tapi aku dah letih sangat, rasa seperti baby tak bergerak keluar pun, dalam riuh rendah suara nurse tu, aku terdengar suara hubby "Yunk kepala baby dah keluar tu yunk, push sikit lagi, push sikit je lagi" oh hubby da sampai rupanya.

Sepertinya masih ada sisa tenaga yang tinggal, walaupun tadi sudah terasa totally out, aku kuatkan juga push untuk ke sekian kalinya, sambil menyebut Allahuakbar!!! tiba2 pandanganku terasa gelap & aku tidak tahu apa yang terjadi, jauh dalam hati aku terdetik, aku mati ke? Tiba2 terdengar nurse bertepuk tangan & ucapan tahniah, diiringi tangisan baby. Aku terasa ada tangan yang menggerak-gerakkan bahuku sambil berkata "Alhamdulillah puan, puan dah selamat bersalin ni, Cuba tengok, anak ape ni puan?" Aku buka mata dan jawab perlahan "BOY" kemudian nurse letakkan baby di atas dadaku, tapi aku tak terdaya nak memangku baby, tanganku masih  terasa lemah & longlai, Nurse meminta izin  mengambil baby untuk dibersihkan. Sekilas pandang, kulit anak ibu bersih je, takde lemak putih pun kat badan. 

Tak lama kemudian, Doktor memulakan tugas seterusnya untuk menjahit luka dalaman & luaran yang di bantu oleh nurse. Banyak sungguh jahitan kali ni, ya Allah sakitnya tak tertahan, bagai disiat2 rasanya, walaupun sudah dibius tapi pedih tetap terasa seperti tidak dibius, sampai terangkat badanku setiap kali jarum di tusuk untuk jahitan.


Lepas siap jahitan semua, nurse panggil hubby masuk semula & disediakan segelas milo panas berserta beberapa keping biskut. Tapi aku belum ada kekuatan lagi untuk makan, letih tu masih terasa sampai nak telan air pun terasa lemah. Hanya sedikit saja milo tu aku minum.


Beberapa minit Lepas siap dijahit & Cuba untuk senyum.


Abi azankan baby

Sekitar jam 2.30am, aku di tolak naik ke ward semula dengan membawa baby bersama. Hubby pun dibenarkan masuk sementara waktu. Lebih kurang jam 4.30am barulah hubby balik ke rumah. Aku pula baik2 saja, tak perlu hubby temankan pun, kerana nurse2 yang bertugas Baik2 & sentiasa bersedia memberikan apa saja bantuan bila diperlukan. Kerana bilik terlalu sejuk, nurse minta izin untuk meletakkan baby di bawah warmer. Jadi aku boleh tidur & berehat. Rasa penat bersalin tadi tiba2 hilang, badan rasa baik2 saja, walaupun dapat banyak jahitan kerana saiz baby yang besar tapi aku masih boleh bangun & berjalan dengan baik tanpa rasa sakit yang melampau. 

Tengah hari tu, Opah, Nyah & Cik Jiah datang melawat. Tapi Nyah tak boleh naik sebab kena Jaga budak2 kat bawah. Nuha & Nufa hubby tinggal kan dengan Nyah, sebab Budak2 under 12 tak dibenarkan melawat. Petang tu doktor benarkan aku & baby pulang ke rumah. Semua urusan selesai sekitar jam 7 malam. Alhamdulillah. 


Abi tengah cuci berak baby. Thanks Abi 💖


Nampak kurus pulak Abi masa ni...



Alhamdulillah, Akhirnya Allah swt makbulkan doaku, tepat jam 12.37 pagi. Lahirlah seorang Khalifah kecil ke dunia ini yang diberi Nama Umar Abdulaziz. Dengan berat 3.75 kg. dalam keadaan sihat & sempurna kejadiannya. 

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua doktor & nurse HPJ yang telah membantu saya sepanjang proses kelahiran, sikap staf kesihatan yang begitu berhemah & sangat berdedikasi sepanjang menjalankan tugas amatlah saya harga. Semoga Allah membalas segala kebaikkan anda semua. 









Isnin, 20 November 2017

Prenancy Supplement :: IBERET 500, OBICAL, Multivitamin ELEPRO


Salam Hii semua, entry kali ni just nak share supplement yang aku amik sepanjang kehamilan. Dah lama nk share tapi asyik terlupa je. Harini ada masa skit & kebetulan aku pun sudah kehabisan stok asid folic & baru je membuat pembelian di Lazada tadi. hihihihi... itu yg teringat nak update blog ni. 

Untuk kandungan kali ke-2 ni, aku tak makan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh klinik kesihatan. Kalau masa preggy kt Nuha Safiya dulu aku just consume semua pil2 yang klinik kesihatan kasi je, malas nak fikir untuk beli apa2 ubat tambahan. Tapi kali ni lain pula, mungkin kesedaran tentang kesihatan janin membuatkan aku sedikit aware & ingin memberi yang terbaik untuk kandungan kali ni, maklumlah umur pun dah meningkat, Lagipun sudah hampir 6 tahun berlalu dari masa 1st preggy Nuha dulu. Untuk bekalan Acid Folic, aku menggunakan Iberet 500. Alhamdulillah banyak perubahan yang aku rasa, antaranya kurang berlaku kekejangan kaki & juga tak ada masalah sembelit. Semuanya smooth je. Stok Iberet ni aku beli online di Lazada je. Harga lebih murah berbanding di Farmasi. Sekitar RM26 ke RM28 sekotak untuk 30 biji. Waktu sesuai untuk makan acid folic ni adalah pada waktu pagi selepas sarapan. Selalunya aku akan makan dulu simple2 after dah sejam baru aku makan iberet 500. 


Bagi bekalan sumber Kalsium pula aku menggunakan Obical. Kalsium ni aku ambik masa kandungan mula nak masuk 3 bulan. Mengikut nasihat pakar Obical ni tak sesuai amik ketika kandungan masih di Trimester 1 kerana saiz pil terlalu besar & kandungan masih muda so tak perlukan tambahan kalsium yang banyak. Dipendekkan cerita ibu-ibu boleh consume Obical ni ketika kandungan sudah melepasi 12 minggu yea. Ape perubahan yang aku alami setelah consume obical ni, Alhamdulillah semua gigi masih stabil hingga sekarang, tiada sebarang kekurangan kalsium nampaknya. Kalau compare 1st preggy, masa kandungan sekitar 24 minggu aku sudah mengalami masalah gigi. So sebatang gigi aku terpaksa dikorbankan ketika tu. Kata doktor itu disebabkan oleh kekurangan kalsium dalam badan, sebab janin memerlukan banyak kalsium untuk pembentukkan tulang. Tapi kali ini semuanya baik2 saja. Syukur, memang tak sia-sia aku amik obical ni. Waktu sesuai nak makan kalsium adalah 2 ke 3 jam sebelum tidur malam yea. Kerana penyerapan kalsium oleh badan dapat berlaku dengan baik. Itu apa yang Doktor Pakar kt Britannia tu cakaplah. Selalunya aku akan makan bersama susu segar. After that tidur dengan aman sampai ke pagi. :))  



Extra vitamin yang amik pula adalah Elepro. Multivitamin ni pun aku dapat masa buat check up di Britannia Kajang tu. So aku just gunakan saja. So far Alhamdulillah, tahap kesihatan & juga stamina sedikit baik kali ni. Walaupun ada juga mengalami keletihan tapi yang tu biasalah kan... Dah ke hulu-ke hilir bawak baby dalam perut tu, memang tipu la kalau aku cakap tak letih langsung. Tapi dengan mengambil kedua-dua jenis supplement tu membuatkan aku berasa sedikit kuat & cergas untuk melakukan kerja2 harian. Harga Elepro ni sekitar RM30 sebotol untuk 60 biji. Waktu sesuai untuk makan multivitamin ni adalah pada waktu pagi. Aku selalu makan bersama dengan iberet 500 tu. 

Kepada ibu2 yang masih mencari vitamin yang baik untuk menampung pembesaran kandungan anda bolehla cuba yang ni ya.   



Ahad, 30 Julai 2017

Orang Baru : Dugaan Trimester Pertama (0-12 Minggu)

Syukur ke hadrat Allah swt atas segala nikmat & kurniaan yang tidak terhingga. Tahun 2017 penuh dengan kejutan. Apepun dugaan & cabaran hidup perlu dilalui dengan tabah & sabar. Hidup dunia adalah medan ujian. Jika ingin berehat tunggulah hingga kaki menjejak ke Syurga. Maka di situlah erti kerehatan yang sebenar. 



(Gambar sekadar hiasan)


Berbalik kepada cerita yang sungguh bermakna yang ingin dikongsi sebagai kenang-kenangan untuk anak2 & juga seluruh keturunan InsyaAllah. Aku mula mendapat tahu berita gembira ini pada akhir minggu ke 2 Ramadhan 1439H. Syukur yang tidak terhingga, kerana kami memang langsung tidak merancang, mungkin sudah fedup untuk planning. So aktiviti berlansung seperti biasa, hanya berharap kepada Allah moga dikurniakan zuriat ke2 suatu masa nanti.

Beberapa minggu sebelum itu aku ada berniat untuk menjaga & membesarkan anak saudara-ku bersama-sama kami. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Aku terpaksa menghantar kembali anak saudara-ku itu pulang ke kampung bersama keluarganya atas sebab2 yang tidak perlu aku ceritakan di sini. 

Walaupun ada sedikit kekecewaan di situ tapi aku lebih bersikap natural. Jauh di dalam hati aku sangat berharap agar dikurniakan anak sebagai teman bermain Nuha Safiya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar. Dia maha mengetahui. Tanpa disedari ketika anak suadara-ku masih berada bersama kami, telah dikirimkan sebuah jiwa kedalam rahim-ku. Ya Allah.. Ya Rahman... tidak terkata ucapan syukur kami ketika itu. Ramadhan yang mulia membawa khabar gembira buat kami sekeluarga. 

Hari2 dilalui dengan rasa gembira & penuh syukur. Semua kerja berat aku elakkan. Even hendak shopping ke Pasar pun aku tunggu hubby free or hujung minggu. Aku bimbang sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini terhadap kandungan-ku yang masih muda. Aku pernah keguguran pada April 2010 ketika itu kandungan-ku mencecah usia 9 minggu. Aku tidak tahu yang aku telah hamil ketika tu, maklumlah 1st time pregnant. Sedar2 bila kaki mula membengkak & aku mengalami sakit kuat dibahagian perut seperti ingin period. Bila aku membuat check up, aku disahkan mengandung. Perasaan gembira hanya seketika kerana pada minggu ke 11 aku terpaksa menjalankan DNC. So kali ni aku lebih berhati-hati. Segalanya dibawah ketentuan DIA. Tetapi sebagai hamba kita juga harus berusaha menjaga diri sendiri. 

Aku mula dilanda Morning sickness seawal minggu ke 5 kehamilan. Emosi mmg tidak menentu, mood happy semua-nya kelaut. Hendak pergi kerja pun malas. Sedang2 elok pulak project sudah nak dapat CCC, aduhaii banyak benda perlu diuruskan & sangat memerlukan tenaga yang cukup untuk aku melakukan semua perkara. Oh tidak... aku rasa nak pengsan setiap kali menjelang waktu tengah hari. Banyak hari juga aku MC & juga amik cuti pada awal kehamilan tu. Sorry Dato' am so sick.

Semua kerja2 memasak diambil alih oleh my hubby. Aku langsung tak boleh hidu bau menumis mahupun menggoreng. Terus menyengat kuat di kepala. Ya Allah memang kuat betul dugaan kehamilan kali ke 3 ni. Dulu masa mengandungkan Nuha aku biasa2 saja. Tapi kali ni memang betul2 terasa kesan kehadiran orang baru. Apa yang mampu hanyalah sabar & terus sabar. Walaupun kadang2 tidak mampu juga aku bersabar. Nuha seringkali mendapat tempias. Budak2, apa yang mereka tahu, bermain, menyanyi, menjerit tanpa ape2 sebab & menyepahkan segala ruang yang ada. Ya Allah itu baru sorang. Tapi bila aku tersedar, aku kembali bawak bertenang & bersabar. 

Nuha juga adalah insan yang paling gembira apabila aku memberitahu dia "Ibu dah ada baby dalam perut ni" setiap hari dia sibuk bertanya bila baby nak keluar. hihihii.. kadang2 dia jugalah yang mengambil air & juga menyapu minyak angin di kepala-ku. SubhanAllah aku kadang terasa sungguh terharu sekali. Kadang2 terasa bersalah juga kerana sering memarahi dia & kurang memahami jiwa kanak2-nya yang masih kecil. Maaf-kan ibu ya kakak. I love u so much.

Ketika memasuki ke minggu ke 6 & ke 7, beberapa kali juga aku dimasukkan ke wad Kecemasan lantaran terlalu mual, muntah & pening berpanjangan. Muntah pun bukan keluar ape. Badan juga penuh dengan angin sekaligus membuatkan keadaan diri aku semakin tidak bermaya. Hubby pula kerap kali amik cuti kerana terpaksa menghantar aku ke hospital mahupun klinik kesihatan. Pengorbanan seorang ibu demi melahirkan seorang hamba Tuhan.

Alhamdulillah Minggu ni adalah minggu terakhir aku berada di Trimester pertama. Minggu depan sudah masuk ke Trimester ke 2. Alhamdulillah, keadaan aku sudah hampir pulih sepenuhnya, hanya kepala saja sedikit pusing & terasa seperti kurang mendapat tidur yang cukup. Selera makan juga bertambah2. Semua seluar kerja-ku sudah mulai sendat & terpaksa membeli pakaian baru yang sesuai dengan keadaan aku. Perut pula sudah mulai naik. Payudara juga membesar bagai juara hihihihi... Bra pun kene beli baru juga. Doa-ku semoga kehamilan ini berjalan dengan baik & aku selamat melahirkan kandungan ke 3 ni dengan sempurna pada Februari 2018 nanti. Semoga anak ibu di sempurna kejadian & diperelokkan akal & akhlak. Jika ada rezeki aku berdoa moga dikurniakan anak lelaki, tapi kehendak Allah itu lebih utama. Kerana dia maha mengetahui mana terbaik untuk hambanya. Bi iznillah :)

Nampaknya segala aktiviti Travelling kami terpaksa dihentikan buat sementara waktu sehingga baby dilahirkan. Lepas bersalin pun bukan boleh terus ye..ye.. ye.. kan ? kene tunggu ibu recover & baby kuat dulu, baru boleh kita fikirkan aktiviti penjelajahan yang seterusnya. Travelling kami akan lebih meriah nampaknya nanti. Tak sabar untuk menunggu kehadiran Orang Baru dalam keluarga kami tahun depan. 

2017 adalah tahun yang penuh makna & Rahmat yang tidak terhitung buat kami sekeluarga. Semoga segala kurniaan Allah ini menjadikan kami semakin dekat kepada DIA yang maha Esa serta diberi kekuatan untuk mendidik setiap insan dibawah jagaan kami supaya menjadi hambaNYA yang beriman & mengenal DIA Allah SWT serta sifat2NYA yang Maha Mulia. Ameen Ya Robbal'alamin.




Rabu, 4 Januari 2017

Antara Azan & Iqomat

Selamat menyambut tahun baru 2017


Untuk tahun yang baru ini, aku hanya mengharapkan semoga Allah menambahkan kebaikan & rahmat-NYA untuk diriku, keluarga-ku, anak2-ku & zuriat keturunan-ku. Tiada yang lebih indah & bahagia ketika menikmati hidup dalam redha & kasih sayang Allah swt.

Jika Allah ingin melimpahkan kebaikan untuk-mu maka tiada siapa di dunia ini yang mampu menghalangi-nya. 

Ketika melihat anakanda kesayangan-ku semakin membesar, aku melihat diri-ku semakin dekat kepada ajal. Bertapa masa yang ada hanya-lah seketika. Ya Allah.... ampunilah segala dosa ! 

Dalam kesibukan mencari harta dunia, membeli itu dan ini, meneroka segala ceruk rantau. Aku terlupa akan hamba2nya yang perlu dibantu. Aku terleka dengan kehijauan dunia, Andai itu satu dosa yang membuatkan kehidupan akhirat-ku menjadi huru-hara... Ya Allah ampunilah !

Moga dipanjangkan usia dalam ketaatan & kelapangan hati. 

DIA-lah Allah yang sentiasa ada & memerhati dengan sebaik-baik pemerhatian !

Isnin, 31 Oktober 2016

Bila Kamu Bahagia !

Ucaplah 

ALHAMDULILLAH 

Syukur kita kepada Allah ....

Walau bagaimanapun bukan semua orang gembira melihat anda bahagia. Tidak kurang ramai yang dengki & iri hati terhadap kebahagiaan yang anda miliki. Maka berwaspadalah dalam setiap tuturkata yang diluahkan, moga-moga tiada ruang kejahatan yang akan menimpa diri anda & keluarga akibat dari hasad dengki manusia apabila mereka berdengki.




Allah swt juga telah mengingatkan kepada kita mengenai bahaya yang akan di lakukan oleh manusia pendengki. Mereka boleh jadi orang2 yang rapat dengan kita atau sesiapa sahaja yang tidak pernah kita kenali latar belakang kehidupan mereka. Maka berlindunglah di bawah naungan Allah dari segala kejahatan & kedengkian manusia yang hasad.



Hasbunallahu Wani'mal Wakeel
Ni'mal Maula Wani'man Naseer ...