Memaparkan catatan dengan label Anugerah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anugerah. Papar semua catatan

Selasa, 31 Disember 2019

Berpantang Sendiri :: Anak ke 3

Alhamdulillah da nak habis pantang pun. Semuanya berjalan baik2 saja walaupun tidak seindah dirancang.


Berpantang 38 days. Nufa kene warded, viral fever. 


Baby tido kat rumah, tengah hari baru datang. Takut kena jangkitan, last2 berjangkit juga, Sian baby Umar 🤒😢


Berkenaan penjagaan ibu selepas bersalin, ikutkan kami dah berurusan dengan sorang makcik XX ni, untuk amik pakej berurut & jaga dalam pantang sampai 21 hari. Semua da setuju, rate per day pun ikut dia letak, aku iyekan aje. Siap suggest aku supaya amik sampai habis pantang (44 days).

Lain yang dirancang lain pula jadinya, bila habis tempoh berurut & bertangas selama 5 hari, suka hati dia je nak datang ke tak nak datang, macam2 alasan jugala dia cakap, ada satu haritu dia tak boleh datang tapi tak inform awal, Lepas marghib baru cakap esok tak boleh datang. Berasap jugala kepala, kerana fikirkan makcik2, klu +- sebaya umur aku, memang jadi tugu la kat situ kena lazer.

Malas nak sakit kepala hubby cakap dia amik cuti jela lagi seminggu & stop service dengan makcik tu. Akhirnya Hubby jugalah yang jadi confinement man untuk kali ke 3 ni. Aku lagi seronok sebenarnya, serabut ada orang kat rumah. Nak marah Anak2 buat perangai pun payah, nak kene cover2. Huhuhuhu...

Ada orang kata, alaa kira bersyukur la tu, hubby tolong uruskan, Ada sesetengah orang tu buat tak tahu je, siap kena cerai lagi. Oh No... No... No... I don't agree with that. Mindset masyarakat kita ni perlu Di bentuk supaya sesuai dengan sunnah & aturan agama, kalau orang miskin yang dalam kesusahan kita perlu bantu  & berlaku ehsan inikan pula bini sendiri yang baru melahirkan zuriat. Nabi tak ajar dengan bini buat lebih kurang, dengan orang luar di timang2.

Lagipun anak tu bukan anak I sorang je ye. Ingat buat kerja amal jaga ibu dalam pantang yang takde laki ke? Orang lain tu lantak dialah, apesal nak amik contoh sikap yang tak Elok? Ke sebab tak kena kat anak pompuan kita, maka sedap mulut la kita nak cakap. 

Arwah abi dulu setiap kali arwah ummi bersalin dia pun buat juga kerja2 rumah tu Walaupun sekejap, sebab Arwah Abi akan carikan pembantu rumah i.e anak murid dia yang miskin & tak ke mana-mana Lepas SPM, kasi upah jaga arwah Umi. Walaupun arwah nenek masih ada masa tu & rumah sedara mara pun duk sebelah menyebelah je pun. Jadi takdelah aku rasa pelik sangat tengok suami2 yang membantu isteri. Itukan isteri dia.

Jangan ingat tolong bini buat kerja urus anak tu bukan part of your responsibility. Klu tak nak buat mudah je, carikan orang. Klu rasa tak mampu, urus jelah sendiri. Aku ni OK je mana2, tak banyak kerenah pun. Ikutkan 10 hari je pun aku berpantang. Lepas tu dah macam orang sihat. Cuma part memasak tu aku tak sentuh langsung. Just bagitau je apa nak buat kat hubby. Lain orang lain cara hidup, tak payahlah nak bagitau yang, your level of Independence tu lagi baik dari I ni. You are not in my shoes ok. 

Apepun my hubby memang terbaik sangat da, dah bersyukur sangat jumpa suami yang baik ni. Takkan aku nak cakap kat semua orang. Kang ada pulak  orang kata, macam dia je ade laki!

Lagipun manusia ni ada kelebihan & kekurangan masing2, kena ade gift & take untuk maintain bahagia & gembira. Kalau setiap orang tak mainkan peranan dengan baik untuk bina keluarga tu, ko ingat boleh hidup bahagia ke? 

Eh teremosi pulak aku harini, mungkin sebab tengah demam kot. Anak2 pun semua demam. Dah letih ni, malas nak peduli apa2 da. Kemarin aku demam tapi hubby pergi kerja juga, Anak2 pun demam, aku sorang2 duk urus 3 cinonet yang macam2 idea & perangai. Letih tak tertanggung aku rasa. Walaupun aku dah biasa uruskan anak sorang2 walaupun tak sihat, cuma kalini agak berat aku rasa,  dalam keadaan pantang pun tak habis lagi, dahla 3 malam tak cukup tidur jaga Nufa di hospital, belum sempat nak hilang letih & sakit2 badan, aku demam pula, Anak2 lain pun demam juga, Budak2 bila dah demam pakat merengek la dia. Sangat stress & tired OK.

Mungkin orang lain lebih kuat, aku ni memang lembik, mulut je kuat sikit, tapi kalau marah ke ape ke, kat situ je habis, aku jarang bawak cakap belakang ke apa.

Petang tu bila hubby balik, aku cakap dengan dia, esok tolong hantar ke hospital, aku nak masuk ward nak berehat. Dah tak larat nak paksa diri tengah2 sakit ni. Ini bukan ugutan ye, aku dah tak larat sangat nak hadap dengan keadaan tak sihat, da bape kali bentan pun X tau. Nak suruh sampai aku mati terbongkang kat tengah rumah tu semata2 nak buktikan aku ni ibu mithali. Memang takkan lah aku nak buat camtu. Laki kita tu pun Manusia & kita semua ni Hamba Allah, bukan Hamba Suami, anytime je Allah boleh bolak balik hati dia dari kita. Jadi kena appreciate diri sendiri juga. Kalau dah tak larat, terima je yang diri tu tak larat. 

Sempena tahun baru 2020 ni. Azam aku sama je, mengutamakan Anak2 & urusan keluarga terlebih dahulu & tak nak ikut campur hal peribadi orang lain. Orang nak suka aku ke, nak menyampah ke, nak ape ke, terpulang, aku takde masalah. Mana yang sayang aku, aku pun sayang kamu.

Hidup tetap terus berjalan seperti biasa, susah senang kami juga yang tanggung sendiri. Tak nak sensitif2 sangat yea. Masing2 ade batas kemampuan masing2. Jangan kita menjadi jambatan dosa. Jadilah manusia yang memahami & mendoakan orang2 disekeliling kita, tak kiralah kita ni lagi tua or lagi muda. 

Hmm... General je tu, tak kata kat sapa2. Just ikut nasihat my aunty, tak payah nak tunjuk baik sangat sampai menyusahkan diri sendiri itu je. 

Esok baru masuk 44 days, dah habis tempoh pantang hopefully semua anak2 sihat semuanya. Amin. 


Sekian 


SALAM 2020... 








Isnin, 16 Disember 2019

3rd born :: Part 2 :: Khalifah Kecil Yang Dinanti 💖

Bersambung...


Pada tarikh 17 November 19, lebih kurang jam 9 malam aku mengalami contraction yang agak kuat, berselimut habis seluruh badan dibuatnya. Walaupun contraction agak kuat tapi aturannya tak sekata, jadi aku tak nak ke hospital lagi, kalau belum betul2 keluar tanda nak bersalin memang buat penat je menunggu kat bilik rawatan tu. Tahan sakit kat rumah jela dulu, selalunya kalau sakit tak sekata ni, nanti dalam 2 - 3 jam camtu hilanglah. Tapi kali ni, Tunggu punya tunggu sampai ke pagi juga sakit tu melanda tak hilang cumanya rasa sakit tu sedikit berkurang. 

Malam tu, aku dah call my little brother Sadiq yang study kat UKM untuk datang tidur kat rumah, bimbang juga Jika air ketuban pecah awal2 pagi, sekurang2nya boleh la dia tengok2kan Budak2 ni kat rumah sementara hubby hantarkan aku ke hospital. Opah pun dah pesan, budak2 tu hantar jela kat rumah dia kalau nak pergi hospital, tapi aku malas nak hantar diorang rumah Opah, biar jela diorang duk rumah, lagipun bukan dekat2 juga nak pergi ke Pelangi Semenyih 2 pastu nak patah balik ke Putrajaya pulak, silap hari bulan boleh terberanak dalam kereta nanti. So pilihan terbaik minta paksu diorang je yang jaga sekejap. Seboleh2nya aku tak nak menyusahkan sesiapa. That's my attitude, mungkin terikut2 perangai arwah ummi. Selagi boleh tanggung sendiri, diam2 sendiri sudah. 

Lepas subuh tu, sakit dah semakin berkurang, aku terpaksa solat Subuh di kerusi kerana keadaan kaki yang semakin membengkak, dah macam kaki gergasi aku rasa, nak angkat pun rasa berat semacam. Banyak pulak sakit yang datang untuk pregnancy kali ke 3 ni. Dulu tak pernah2 pun aku mengalami bengkak kaki seteruk ni, walhal masa tu aku berkerja, lagi banyak bergerak ke sana ke mari & panjat tangga bertingkat2 untuk building inspection. Sekarang duk rumah je pun, mungkin faktor usia yang semakin meningkat agaknya. Aduhaai dah semakin tua rupanya. Betullah kata orang, lain anak, lain ragamnya, makin tua makin banyak risiko nak mengandung. Moga Anak2 ibu menjadi penyejuk mata & penenang hati ibu ye. Amin.

Pagi2, kat rumah ni mesti ada sarapan, paling simple pun roti & telur goreng atau Telur separuh masak, tapi aku da tak larat nak prepare-kan sarapan, jadi aku minta hubby belikan roti canai kat luar je. Kebetulan haritu, semua kedai roti canai yang biasa kitorang makan tutup pulak, sian hubby, sampai ke Jenderam Hilir dia pusing cari kedai roti canai. Nasib baik ada kedai yang bukak, sempatlah aku bantai 2 roti canai kosong & separuh roti telur. Walaupun aku tau berat baby  semakin bertambah tapi nafsu makan tetap maintain... Hihihi

Tak lama lepas makan tu, contraction datang lagi, Oleh kerana sakit sudah berlarutan dari semalam jadi hubby cakap better-lah ke hospital terus. Jadi kami bersiap2 pagi tu untuk ke HPJ. Sebaik masuk ke bilik rawatan, aku di minta untuk berbaring di bed untuk cex jantung baby & tekanan darah. 


Alhamdulillah jantung baby ok, cuma tekanan darah aku agak tinggi sampai 150, tak pernah2 tekanan darah aku naik setinggi tu, Nurse ingatkan aku ada darah tinggi sebelum ni, bila dia cek buku merah OK je katanya. Mungkin sebab aku sakit dari semalam & tak cukup tidur menjadi punca tekanan darah naik mendadak. Nurse suruh berehat dulu, nanti dia datang balik untuk amik bacaan lagi. 

Tak lama kemudian datanglah doktor untuk cex laluan... "dah bukak laluan 3cm" katanya. Kemudian aku dipanggil masuk ke bilik lain untuk scan Baby. Part paling menyeramkan adalah bila doktor cakap saiz baby awak ni besar ni, est 3.9kg !!! Awak kene operate ni. Terus rasa sebak sampai ke dada, terkedu seketika, perkara yang paling aku tak nak dengar akhirnya semakin dekat & hampir menjadi kenyataan. Doktor tanya saiz baby sebelum ni berapa kilo. Aku bagitaulah Nuha 3.25 kg dan Auliya cuma 3.0 kg, setakat ni belum Ada yg lebih 3.50 kg. Nampaknya peluang untuk operate semakin tinggi. Doktor minta aku panggil hubby masuk untuk memberitahu keadaan aku dan seterusnya membuat keputusan dalam tempoh setengah jam sebab bukaan sudah 3cm, anytime aku boleh bersalin. 

Setelah mendengar penjelasan doktor, Hubby bersetuju untuk aku menjalankan operation, tapi aku masih lagi blur & tak dapat berfikir secara waras apa yang perlu aku buat, apekah hanya bersetuju untuk jalankan operation atau sebaliknya. Dari penjelasan yang diberikan kedua-dua procedure samada operation atau normal masing2 mempunyai risiko yang tinggi untuk aku. Kerana slip disk aku berada pada L4/L5 maka bius separuh badan tidak dapat dilakukan, Oleh itu aku terpaksa dibius sepenuhnya. Kemudian dengan history low blood pressure & darah cair pula, kemungkinan untuk aku sedar selepas operation & juga tempoh untuk pulih sepenuhnya mungkin akan mengambil masa yang agak lama. Aku mungkin berada di wad sekurang2nya seminggu ke 2 minggu atau lebih, bergantung kepada tahap pemulihan. Tetapi jika aku memilih untuk bersalin normal pula, risiko untuk baby tersangkut bahu adalah tinggi, kerana bahu baby adalah besar dari biasa untuk ibu yang ada kencing manis kata doktor. Risiko untuk baby lemas & kemungkinan ibu mengalami tumpah darah juga sangat tinggi.

Dua orang doktor consult aku masa tu. Operation akan dilakukan segera jika aku bersetuju & sign surat kebenaran. Walaubagaimanapun aku minta sedikit masa untuk melakukan solat istikharah sebelum apa2 keputusan dibuat. Jam masa tu menunjukkan 12.30 T/hari. Doktor minta aku solat di biliknya saja.

Sebaik saja mengangkat takbir, airmataku berguguran deras bak hujan yang turun sepertinya saat itu adalah saat2 terakhir dalam hidupku. Sedih, takut, putus harapan, semua perasaan itu berhimpun di dadaku. Kini aku serahkan segala pengharapan hanya kepada Dia, bantulah ya Allah. Terasa sungguh lemah & tiada upaya diriku atas segala takdir yang bakal dilalui. Istikharah itu adalah solat yang paling indah dalam hidup, sebulat tekad & harapan hanya mengharapkan belas ehsan daripadaNYA semata-mata. Seusai bangun dari sujud setelah segalanya aku luahkan kepada DIA, sungguh terasa sebuah ketenangan & semangat diri tiba2 hinggap di jiwaku. Allahurobbi sesungguhnya DIA Maha Mendengar & Maha Mengasihani kepada setiap hamba2NYA.

Azan zuhur pula berkumandang, aku bangun dan terus solat zuhur. Mana lah tau jika itu adalah solat zuhurku yang terakhir. Nurse beberapa kali memanggil namaku dari luar. Selepas solat aku keluar & bertemu doktor. Dengan penuh yakin aku menjawab pertanyaan doktor. Jawabku tenang "Saya rasa, saya boleh bersalin normal & saya nak bersalin normal" doktor tanya aku beberapa kali "are you sure?" Dan jawapan aku tetap sama. Kemudian dia menepuk bahuku dan berkata "Good Luck" sambil tersenyum dan berlalu keluar.

Kemudian doktor pelatih mengarahkan nurse untuk mengambil darahku & juga memasang line di tangan kerana aku akan terus ke wad.


Sambil mencucuk jarum ke tangan kiriku, sempat lagi nurse memberikan kata2 semangat untuk aku, kerana tadi, dia pun Ada bersama ketika aku memberitahu doktor yang aku decide untuk bersalin normal.

Kata dia "Allah yang berikan semua pada kita puan, susah pun dari Allah, mudah pun dari Allah, InsyaAllah kalau puan yakin puan boleh bersalin normal InsyaAllah boleh, kita ni ibu, Allah bagi kita hati untuk kita rasa, ikutlah apa kata hati puan, selebihnya berserahlah pada Allah".

Kata2nya itu ringkas tetapi begitu dalam maknanya, ia benar2 membuatkan hati aku bertambah teguh dengan keputusan yang aku lakukan, sepertinya Allah  sedang menghantarkan mesej melalui hambanya untuk disampaikan kepadaku bagi menjawab segala luahan dalam istikharahku sebentar tadi. Allahurobi. Sesungguhnya Engkau dekat! 

"Nikmat Tuhanmu yang mana lagi, yang ingin engkau dustakan?"

                                 
My katil 


Warded 18/11/2019 @ 2pm


View SPRM dari tingkap bilik


Ok juga bilik berdua ni. My Roommate ni Chinese yg sangat peramah & petah berbahasa Melayu. Kandungan dia pun sudah masuk 39 minggu tetapi saiz baby pula agak kecil estimate hanya 2.50 kg saja. 


Depan tu toilet, sangat dekatkan 👍


Perabut yang disediakan di bilik. 

Sekitar jam 2pm aku di tolak naik ke wad bersalin di blok D. Memandangkan bilik single full, Yang available hanya bilik berdua. Maka aku di masukkan di katil di tepi tingkap. Akhirnya perancangan Allah tu mengatasi segala kehendaki kita, mungkin itulah yang terbaik, aku dah malas nak fikir apa2 lagi. 


Kuih minum petang pertama di wad. 

Tak lama kemudian, Hubby naik hantarkan Barang2, beg & sebungkus nasi kandar LAN Kedah. Dari senyuman hubby tu, aku tau dia sangat faham yang isteri dia ni cekal hatinya & kuat tekadnya. Terima kasih kerana sangat memahami. Kami berbual seketika, menguatkan hati atas segala kemungkinan & risiko yang bakal aku lalui. sebelum balik aku minta hubby doakan moga dipermudahkan segala urusan & memohon maaf atas segala kesilapan selama ini. Kita ini hanyalah seorang manusia yang serba kekurangan. 

Petang tu beberapa orang doktor yang bertugas di wad datang lagi. Bertanya keadaan aku & explain benda yang sama juga. Mungkin doktor nak aku hadam secukupnya segala risiko yang bakal dihadapi jika aku tetap dengan keputusan untuk bersalin secara normal. Aku just dengar  je dan kemudian memberi jawapan yang sama. 

Lebih kurang 6.30 ptg hubby sampai. dengan bawak air kelapa sebotol & juga barang2 keperluan. Hujan renyai2 petang tu, hubby datang dengan motor, Nuha & Nufa tinggal kat rumah je berdua. Aku sempat buat video call kat diorang, mula2 tu  si kecik Nufa happy je nampak, tengok cerita karton Umar Hana sambil makan ayam goreng dengan kakak dia, tapi tak lama Lepas tu sedih pulak dia, menangis teresak-esak sampai berjejeh hingus keluar. Ya Allah sayu je hati ibu ni rasa. Ibu pun sedih tinggalkan adik, ibu doakan  moga semuanya selamat & ibu cepat2 bersalin & dapat balik rumah dengan baby skali.

Bila dah tengok Nufa makin lama menangis tak henti-henti sampai teresak-esak, aku suh hubby balik dulu, kesian dia, nanti demam susah pulak, sudahnya memang demam pun si kecik tu. Tak pernah lagi aku tinggalkan dia sejak dari kecik. Inilah 1st time kene tinggal, baru beberapa jam kene tinggal terus demam anak ibu.

Nuha pun cakap dia sedih juga, rindu kat ibu, tak best bila ibu takde katanya. Siap wasap ibu lagi. Tiba2 ibu pulak yang rasa nak menangis.


Perasaan yang serupa hadir ketika malam pertama arwah Umi tiada (Dejavu), Aku masih ingat bila aku tidur sambil memeluk baju arwah yang belum dicuci. Semua orang marah kepadaku masa tu, Opah pun sama, tapi Mereka tidak tahu ape yang aku rasa, aku cume menangis sendiri menahan rindu yang tak terluah, tanpa bebicara dengan sesiapapun. Arwah ummi adalah teman yang paling rapat, terlalu awal dia meninggalkan aku, walaupun sudah bersuami, tetapi aku tetap inginkan arwah ummi ada bersamaku hingga ke hari tua ku. Tetapi aturan Allah mengatasi segala kehendak kita. 

Walaupun kadang2 perangai Nuha tu buat ibu rasa geram je tapi most of the time Nuha banyak tolong ibu jagakan adik Nufa. Tolong suapkan adik makan Walaupun selalu usik adik sampai tumpah segala makanan atas lantai. Selalu juga tolong ibu cuci pinggan mangkuk Walaupun 1000x nak kene ibu ingatkan "Nuha, sudah makan tu cuci pinggan, lap meja" selalu juga tolong ibu vacum rumah & sidaikan baju Walaupun senget benget & bergumpal2. Ibu hargai semua yang Nuha buat, ibu doakan semoga hidup Nuha sentiasa dalam Rahmat & pemeliharaan Allah & jadi hamba Allah yang Solehah serta dipermudahkan segala urusan dunia & Akhirat. 

Sekitar jam 10 malam aku dah bersiap2 nak tidur, tiba2 datang pula beberapa orang nurse, doktor & surgeons yang bertugas malam tu. Dia bertanya keadaan aku & keputusan akhir samada nak operation atau normal. Tapi cara penerangan yang diberi 50/50, tidak terlalu mendesak untuk melakukan operation  & tidak pula menghalang untuk aku cuba bersalin normal.

Doc pakar tu cakap "kite beri peluang untuk puan cuba bersalin normal jika kita tengok tiada progress yang baik, kita akan buat emergency ceaser katanya. Puan solat & berdoalah mudah2n selamat bersalin dengan baik, sujud lama2" katanya. Aku hanya senyum & menyambut nasihat doktor pakar tu dengan ucapan terima kasih. 

Sebelum tidur aku call hubby, bagitau apa yang surgeons bagitau, hubby pun yakinkan aku InsyaAllah boleh bersalin normal. Alhamdulillah bertambah lega hati mendengarnya. Opah & Maksu pun ada call juga malam tu. Banyak nasihat & kata2 semangat yang diberikan. Syukur ke hadrat Allah Kerana hadirkan untukku insan2 yang sangat prihatin & sentiasa support atas setiap perkara, dalam susah mahupun senang. 

Sekitar jam 11.20pm, aku mulai berasa sakit (mild contraction), sambil berbaring di bed tu aku berbisik perlahan kepada diri sendiri "Malam ini, aku maafkan semua kesalahan manusia terhadapku, samada kesalahan kecil mahupun besar, aku halalkan segala hutang2 Mereka yang berhutang kepadaku, keranaMU , Ya Allah ampunkanlah aku & permudahkanlah urusanku"

Kemudian nurse datang untuk mengambil tekanan darah. Tengok keadaan aku tu nurse dah agak aku sedang menahan sakit. Dia pun duduk di sebelah aku sambil meletakkan tangannya ke perut. "Agak kuat juga contraction ni, dah lama ke sakit ni?"  Tanya nurse kepadaku, "Baru je sakit, tapi masih boleh tahan" jawabku ringkas, tak sampai beberapa minit tiba2 rasa sakit mendadak kuat & air ketuban pecah "poop".

Nurse yang tadi tu terus memanggil rakan2 yang lain, dia terus cek laluan. Dah terbuka 5cm katanya, kemudian nurse yang cex laluan tadi cakap dia akan bantu aku untuk mudahkan bersalin, pastu dia masukkan jari sekali lagi kat dalam & twist, ya Allah sakit macam kene gunting hidup2, bercucur darah atas bed, ubat berak pun dicucuk kat bontot, terus rasa nak berak tapi bila masuk duduk nak berak, tak keluar ape2 pun, nurse tu boleh pulak tunggu aku nak berak kat dlm toilet, tapi aku minta dia tunggu kat luar je, 2 - 3x aku minta dia tunggu di luar, barulah dia keluar, katanya risau tinggalkan aku dalam sorang2, takut bersalin kat toilet. Tqvm nurse atas keprihatinan anda. 

Lebih kurang jam 12 pagi aku di tolak ke labor room. Sambil tolak tu, nurse bacakan doa nabi Yunus berulang2 kali. Bagus2 nurse yang bertugas malam tu, baik2 semuanya. 

Sampai je di labor room, aku kena baring untuk cex laluan lagi, ok dah 6cm. Hubby belum sampai lagi, sebelum turun ke labor room tadi aku dah call hubby bagitau yang aku da nak masuk labor room. Mungkin hubby tunggu Sadiq sampai rumah dulu coz anak2 dah tidur.

Rasa sakit sebenar bersalin telah datang,  Allahurobbi terasa berat sakit nya kalini,  aku berpusing ke kiri & ke kanan untuk betulkan kedudukan pinggang & tulang belakang yang semakin menekan kuat.

Nurse bagitau aku supaya sedut benda macam mask tu kalau sakit sangat. Tapi aku hanya menggelengkan kepala. Takpelah aku nak menikmati rasa sakit ni walaupun hanya Allah saja yang tau bebannya. Dalam menahan sakit yang tiba2 datang tu, aku dapat rasakan baby sudah mulai turun ke bawah. Aku bagitau nurse baby dah turun bawah. Pastu nurse cek, bukan dah 10cm Dan kepala baby dah nampak. Maka menjerit2lah nurse tu panggil doktor, sebab kes aku ni mesti doktor yang lead & beri order. Nurse2 duduk dikeliling katil kiri & kanan, Ada yang pegang kaki, Ada yang berikan kata2 semangat untuk aku push baby keluar, tapi aku dah letih sangat, rasa seperti baby tak bergerak keluar pun, dalam riuh rendah suara nurse tu, aku terdengar suara hubby "Yunk kepala baby dah keluar tu yunk, push sikit lagi, push sikit je lagi" oh hubby da sampai rupanya.

Sepertinya masih ada sisa tenaga yang tinggal, walaupun tadi sudah terasa totally out, aku kuatkan juga push untuk ke sekian kalinya, sambil menyebut Allahuakbar!!! tiba2 pandanganku terasa gelap & aku tidak tahu apa yang terjadi, jauh dalam hati aku terdetik, aku mati ke? Tiba2 terdengar nurse bertepuk tangan & ucapan tahniah, diiringi tangisan baby. Aku terasa ada tangan yang menggerak-gerakkan bahuku sambil berkata "Alhamdulillah puan, puan dah selamat bersalin ni, Cuba tengok, anak ape ni puan?" Aku buka mata dan jawab perlahan "BOY" kemudian nurse letakkan baby di atas dadaku, tapi aku tak terdaya nak memangku baby, tanganku masih  terasa lemah & longlai, Nurse meminta izin  mengambil baby untuk dibersihkan. Sekilas pandang, kulit anak ibu bersih je, takde lemak putih pun kat badan. 

Tak lama kemudian, Doktor memulakan tugas seterusnya untuk menjahit luka dalaman & luaran yang di bantu oleh nurse. Banyak sungguh jahitan kali ni, ya Allah sakitnya tak tertahan, bagai disiat2 rasanya, walaupun sudah dibius tapi pedih tetap terasa seperti tidak dibius, sampai terangkat badanku setiap kali jarum di tusuk untuk jahitan.


Lepas siap jahitan semua, nurse panggil hubby masuk semula & disediakan segelas milo panas berserta beberapa keping biskut. Tapi aku belum ada kekuatan lagi untuk makan, letih tu masih terasa sampai nak telan air pun terasa lemah. Hanya sedikit saja milo tu aku minum.


Beberapa minit Lepas siap dijahit & Cuba untuk senyum.


Abi azankan baby

Sekitar jam 2.30am, aku di tolak naik ke ward semula dengan membawa baby bersama. Hubby pun dibenarkan masuk sementara waktu. Lebih kurang jam 4.30am barulah hubby balik ke rumah. Aku pula baik2 saja, tak perlu hubby temankan pun, kerana nurse2 yang bertugas Baik2 & sentiasa bersedia memberikan apa saja bantuan bila diperlukan. Kerana bilik terlalu sejuk, nurse minta izin untuk meletakkan baby di bawah warmer. Jadi aku boleh tidur & berehat. Rasa penat bersalin tadi tiba2 hilang, badan rasa baik2 saja, walaupun dapat banyak jahitan kerana saiz baby yang besar tapi aku masih boleh bangun & berjalan dengan baik tanpa rasa sakit yang melampau. 

Tengah hari tu, Opah, Nyah & Cik Jiah datang melawat. Tapi Nyah tak boleh naik sebab kena Jaga budak2 kat bawah. Nuha & Nufa hubby tinggal kan dengan Nyah, sebab Budak2 under 12 tak dibenarkan melawat. Petang tu doktor benarkan aku & baby pulang ke rumah. Semua urusan selesai sekitar jam 7 malam. Alhamdulillah. 


Abi tengah cuci berak baby. Thanks Abi 💖


Nampak kurus pulak Abi masa ni...



Alhamdulillah, Akhirnya Allah swt makbulkan doaku, tepat jam 12.37 pagi. Lahirlah seorang Khalifah kecil ke dunia ini yang diberi Nama Umar Abdulaziz. Dengan berat 3.75 kg. dalam keadaan sihat & sempurna kejadiannya. 

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua doktor & nurse HPJ yang telah membantu saya sepanjang proses kelahiran, sikap staf kesihatan yang begitu berhemah & sangat berdedikasi sepanjang menjalankan tugas amatlah saya harga. Semoga Allah membalas segala kebaikkan anda semua. 









Isnin, 20 November 2017

Prenancy Supplement :: IBERET 500, OBICAL, Multivitamin ELEPRO


Salam Hii semua, entry kali ni just nak share supplement yang aku amik sepanjang kehamilan. Dah lama nk share tapi asyik terlupa je. Harini ada masa skit & kebetulan aku pun sudah kehabisan stok asid folic & baru je membuat pembelian di Lazada tadi. hihihihi... itu yg teringat nak update blog ni. 

Untuk kandungan kali ke-2 ni, aku tak makan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh klinik kesihatan. Kalau masa preggy kt Nuha Safiya dulu aku just consume semua pil2 yang klinik kesihatan kasi je, malas nak fikir untuk beli apa2 ubat tambahan. Tapi kali ni lain pula, mungkin kesedaran tentang kesihatan janin membuatkan aku sedikit aware & ingin memberi yang terbaik untuk kandungan kali ni, maklumlah umur pun dah meningkat, Lagipun sudah hampir 6 tahun berlalu dari masa 1st preggy Nuha dulu. Untuk bekalan Acid Folic, aku menggunakan Iberet 500. Alhamdulillah banyak perubahan yang aku rasa, antaranya kurang berlaku kekejangan kaki & juga tak ada masalah sembelit. Semuanya smooth je. Stok Iberet ni aku beli online di Lazada je. Harga lebih murah berbanding di Farmasi. Sekitar RM26 ke RM28 sekotak untuk 30 biji. Waktu sesuai untuk makan acid folic ni adalah pada waktu pagi selepas sarapan. Selalunya aku akan makan dulu simple2 after dah sejam baru aku makan iberet 500. 


Bagi bekalan sumber Kalsium pula aku menggunakan Obical. Kalsium ni aku ambik masa kandungan mula nak masuk 3 bulan. Mengikut nasihat pakar Obical ni tak sesuai amik ketika kandungan masih di Trimester 1 kerana saiz pil terlalu besar & kandungan masih muda so tak perlukan tambahan kalsium yang banyak. Dipendekkan cerita ibu-ibu boleh consume Obical ni ketika kandungan sudah melepasi 12 minggu yea. Ape perubahan yang aku alami setelah consume obical ni, Alhamdulillah semua gigi masih stabil hingga sekarang, tiada sebarang kekurangan kalsium nampaknya. Kalau compare 1st preggy, masa kandungan sekitar 24 minggu aku sudah mengalami masalah gigi. So sebatang gigi aku terpaksa dikorbankan ketika tu. Kata doktor itu disebabkan oleh kekurangan kalsium dalam badan, sebab janin memerlukan banyak kalsium untuk pembentukkan tulang. Tapi kali ini semuanya baik2 saja. Syukur, memang tak sia-sia aku amik obical ni. Waktu sesuai nak makan kalsium adalah 2 ke 3 jam sebelum tidur malam yea. Kerana penyerapan kalsium oleh badan dapat berlaku dengan baik. Itu apa yang Doktor Pakar kt Britannia tu cakaplah. Selalunya aku akan makan bersama susu segar. After that tidur dengan aman sampai ke pagi. :))  



Extra vitamin yang amik pula adalah Elepro. Multivitamin ni pun aku dapat masa buat check up di Britannia Kajang tu. So aku just gunakan saja. So far Alhamdulillah, tahap kesihatan & juga stamina sedikit baik kali ni. Walaupun ada juga mengalami keletihan tapi yang tu biasalah kan... Dah ke hulu-ke hilir bawak baby dalam perut tu, memang tipu la kalau aku cakap tak letih langsung. Tapi dengan mengambil kedua-dua jenis supplement tu membuatkan aku berasa sedikit kuat & cergas untuk melakukan kerja2 harian. Harga Elepro ni sekitar RM30 sebotol untuk 60 biji. Waktu sesuai untuk makan multivitamin ni adalah pada waktu pagi. Aku selalu makan bersama dengan iberet 500 tu. 

Kepada ibu2 yang masih mencari vitamin yang baik untuk menampung pembesaran kandungan anda bolehla cuba yang ni ya.   



Ahad, 12 November 2017

Little Caliph :: Grand Ihtifal 2017



Pada hari Sabtu haritu, kami ke majlis Grand Ihtifal Little Caliph yang di adakan di Dewan Kejuruteraan UPM Serdang yang berlangsung seawal 8.30am to 12.30pm. Untuk sessi pagi kanak2 cilik yang berusia 4 dan 5 tahun membuat pelbagai persembahan serta menerima pelbagai anugerah prestasi cemerlang untuk sessi pembelajaran 2017. Ini adalah kali pertama aku menyertai anjuran hari konvokesyen Little Caliph. Tahun lepas kami tidak dapat bersama untuk memeriahkan majlis kerana kami sekeluarga bercuti selama sebulan untuk menjayakan trip menjelajah Europe. Tapi sampai harini belum siap2 lagi ceritanya. hihihihi... dah hampir lupa agaknya. Nak kene repeat lagi sekali kot.. hahahaha.

Nuha Safiya berada di kelas KG1(5) untuk tahun ini. Ada beberapa orang kanak2 yang dipilih untuk membuat pelbagai persembahan bagi mewakili kelas masing2. Jumlah pelajar dalam setiap kelas lebih kurang 30 orang. hanya 14 org yang terpilih untuk membuat persembahan dipentas. Pada hari tu Nuha Safiya membuat persembahan tarian cina, nyanyi lagu Raihan "Ching Ai". Bukan main semangat lagi si kecik ni dapat masuk aktiviti tari menari. 





Dah nampak besar sangat anak ibu ni, padahal baru 5 years... Hmmm semoga Allah sentisa menjaga buah hati, intan payung kesayangan ibu ni menuju jalan ke Syurga Firdaus. 






Gambar naik pentas masa amik hadiah tak sempat ibu nak snap... 
simpan dalam kenangan sajalah... 


Sempena hari anugerah tu, Nuha Safiya juga telah terpilih sebagai Best Reading Siri Cepat Baca untuk kelas KG1(5). Tahniah anak ibu ... !!! Dua hari sebelum Grand Ihtifal berlangsung Teacher Lin dah mesej kat ibu. Tak sangka pulak semek kecik yang kuat main HP ni boleh dapat anugerah. Apepun semoga menjadi semangat untuk terus belajar dengan rajin & cemerlang pada masa akan datang. Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau dari kecik tak di ajar semangat membaca & menuntut ilmu bila dah masuk sekolah nanti budak2 ni jadi malas nak belajar serta kurang motivasi diri. Tapi dari pemerhatian ibu, Nuha Safiya ni rajin belajar, kadang2 tak perlu disuruh pun dia suka ulangkaji semula apa yang telah di baca bersama guru di tadika. Alhamdulillah semoga terus istiqomah sayang.

Hari Konvokesyen Little Caliph ni telah di gabung sekali bersama dengan Little Caliph dari Bandar Tun Hussien Onn. So sedikit meriahla sambutan-nya. Apepun semoga Little Caliph terus cemerlang & berjaya membentuk anak2 kecil ini menjadi manusia yang berjiwa murni & mengenal Allah. 

Belum sempat habis Majlis Nuha dah tanya ibu, "Ibu..Ibu... Ibu nak kasi hadiah ape kat Nuha ni ?" hihihihi.... Ibu dah 2 hari lepas pikir nak beli hadiah apelaa pulak kt si kecik ni. Nak celebrate makan2 macam dah selalu sangat makan macam2 so dah jadi macam biasa sangatla pulak. Adoiii... "nanti ibu tengok kat Lazada nak beli hadiah ape" sambil godek2 lazada tiba2 terkeluar gambar kitchen toys tu, terus si kecik jerit, "hahh Nuha nak main masak2la ibu, ibu beli kitchen tu pun boleh untuk Nuha" hihihihi... iyelaa nanti ibu belikan. Oh anak... kadang2 membuatkan hati terasa syahdu & terbelai indah, kadang2 buat jiwa rasa tidak keruan. Hmm sesungguhnya harta & anak2 tidak lain hanyalah perhiasan dunia yang sementara. Semoga dirimu terdidik dengan akhlak & peribadi yang Mulia anak-ku. 


  


Khamis, 20 Mac 2014

UMRAH :: Rindu Untuk Kembali Ke Mekah & Madinah

Beberapa minggu ini aku asyik membuat carian berkenaan dengan menunaikan Umrah ke Tanah suci tanpa menggunakan Agen. Banyak juga maklumat yang aku dapat. Setiap ketika perasaan untuk kembali ke Tanah Haram mula membuak-buak. Kali pertama aku ke Menunaikan Umrah pada tahun 2004. Aku mendapat sponsor penuh dari arwah cik ngah. Travel agen yg membawa kami pada ketika itu bernama Al-Quds. Alhamdulillah berada di Tanah Haram pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan adalah sebuah perasaan yang sangat Indah. Perasaan pertama kali melihat Ka'abah tidak dapat aku bayangkan dengan kata-kata. Jangtung berdegup kencang, ingin melihat sebuah rumah yg Maha Suci, yang menjadi tujuan ibadat setiap umat Islam di Bumi. Dari celah2 tiang Masjidil Haram yang berdiri megah aku dapat melihat Ka'abah dari pintu Babusalam. Tanpa sedar aku menangis. Mungkin terlalu gembira agaknya. Allahurobbi.

Tiket untuk menunaikan Umrah pada bulan Ramadhan sekarang melambung tinggi. Kebanyakkan Pakej bermula dari angka RM5500++ untuk bilik 4/6. Itu harga di awal ramadhan, bukan pertengahan Ramadhan apetah lagi untuk 10 hari terakhir Ramadhan. Harga melambung2 sampai mencecah 30k seorang. Ya Allah... Bumi yang tandus & kontang itu suatu masa dahulu tidak mempunyai apa2, kini berdiri megah dengan bangunan-bangunan pencakar langit. Mungkin juga ini petanda dunia akhir zaman. Mendengar cerita dari sanak-saudara yang baru sahaja balik dari sana, semuanya telah jauh berubah. Kedai2 atap semua dah xde. Hotel2 yang berhadapan masjidil haram semuanya telah di robohkan. Perubahan yang begitu drastic sekali dalam masa beberapa tahun.
Jika di izinkan Allah aku berhasrat untuk sana lagi. Terasa ingin mengulang & merasai detik2 yang indah selama berada di bumi haramain pada bulan yang mulia & penuh barakah itu. Mudah2n Allah sudi menjadikan aku Tetamu di Rumah-NYA.


Antara Travel Agent yang menjadi perhatian adalah Andalusia Travel, Felda Travel & juga Rayhar Travel. Harga pakej untuk menyambut awal Ramadhan dengan bilik berdua semuanya bermula dari Angka RM7500++ bagi penerbangan Saudi Air/MAS/ Emirate. Kitorang bercadang untuk berpuasa di Mekah selama 6 atau 7 hari sekurang-kurangnya. Menunaikan Umrah di bulan Ramadhan sama pahala-nya dengan menunaikan ibadat Haji. Itu yang aku nak sangat pergi ketika bulan Ramadhan. Pahala pun berlipat ganda, Mudah2n aku tidak tergolong dari kalangan manusia yg muflis di hari akhirat nanti.  

Beberapa sessi perbincangan bersama hubby & my aunty telah dilakukan. Memandangkan anakanda Nuha Safiya terpaksa ditinggalkan bersama Opah (my aunty) Jika kami pergi menunaikan Umrah pada awal Ramadhan nanti. Perancangan awal aku mahu membawa Nuha sekali ke sana, tetapi setelah banyak kali di fikirkan dan beberapa factor keselamatan, maka aku terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan Nuha. Walaupun berat hati aku ni hhmmm... Tapi demi menjamin kesempurnaan ibadah & juga keselamatan Nuha aku terpaksa Redha untuk tidak membawanya. 


Mengikut pengalaman yang lepas, pada setiap kali tiba bulan Ramadhan jumlah Jemaah meningkat berkali ganda, melebihi waktu2 yang lain. Ada yang kata jumlah Jemaah sama ramainya dengan musim Haji. Nak berjalan pun memang bersesak-sesak. Jika aku membawa Nuha dalam keadaan sebegitu mungkin kurang sesuai untuk dia yang masih kecil, baru saja hendak memasuki umur 2 tahun. InsyaAllah jika di izinkan Allah, aku akan membawa Nuha ke Tanah Suci bila dia sedikit besar & pandai menjaga diri InsyaAllah. 

Memandangkan ini adalah Umrah yang pertama kali bagi my hubby, dia mencadangkan kitorang pergi bersama agent saja. katanya agak rumit untuk pergi sendiri tanpa agent. Bimbang ada perkara-perkara ibadah yang tidak sempurna di lalukan sendiri tanpa panduan ustaz2. Oleh itu aku bersetuju untuk pergi dengan Travel Agent, tapi travel agen yang mana satu belum dapat di putuskan lagi. Persediaan dari segi mental & fizikal juga harus di mantapkan. Harapnya niat untuk ke Tanah haram ini di mudahkan jalannya oleh Allah. 


Amen ya Rabb...