Khamis, 4 Ogos 2011

Tony Blair Memartabatkan Al-Quran

LONDON: Tony Blair berkata beliau kini lebih terbuka terhadap agama sejak tidak lagi memegang jawatan perdana menteri. Malah bekas Perdana Menteri Britain itu mengakui beliau membaca al-Quran setiap hari kerana aktiviti itu membuat dirinya lebih memahami mengenai iman.

“Berusaha ke arah celik iman amat penting dalam dunia global,” katanya seperti dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail kelmarin. Malah beliau berkata membaca al-Quran setiap hari untuk memahami hal yang berlaku di dunia kerana al-Quran memberikan perintah yang jelas atau panduan yang berguna.

Ia juga meyakinkan pengetahuan beliau mengenai iman yang dapat membantu dalam tugasnya sebagai wakil di Asia Barat mewakili Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Russia.

Sebelum ini beliau juga pernah menyatakan iman umat Islam amat indah dan Nabi Muhammad adalah tokoh yang mendorong peradaban.

Pada 2006 beliau pernah menyatakan al-Quran adalah kitab reformasi yang inklusif. Al-Quran juga mengagungkan ilmu dan pengetahuan dan membenci tahyul.

“Kitab (al-Quran) itu memberikan arahan praktis mengenai pernikahan, wanita dan pemerintahan,” katanya.
Walaupun demikian, Tony turut mengakui beliau melihat bagaimana pelaku jihad menterjemahkan al-Quran sebagai panggilan untuk mengangkat senjata. Ketika kejadian serangan bom bunuh diri di London pada 2005 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 52 maut, beliau ketika itu masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Membaca al-Quran membantunya dalam menunaikan tugas sebagai utusan damai. – Agensi