Malam bagi orang soleh dipenuhi dengan munajat, zikir dan sujud yang panjang. Ibadah mereka itu seolah mengkhabarkan kepada seluruh umat islam bahawa selepas taubat, solat Tahajudlah kunci paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malam adalah waktu paling dekat dengan Tuhan, jika seorang hamba mengisinya dengan solat dan zikir yang panjang.
Al-Fudhail ibn 'Iyadh
Al-Fudhail ibn 'Iyadh menjumpai sekelompok orang yang malu jika tidur malam terlalu lama. Jika mereka bergerak dan bangun, mereka berkata : "Ini bukan untukmu. Bangunlah! Ambil bahagian akhiratmu."
Antara ungkapan beliau adalah, "Di kala matahari terbenam, aku bergembira kerana aku dapat menyambut malam untuk berdua-duaan dengan Tuhan. Di kala matahari terbit, aku bersedih kerana banyak orang datang menemuiku. Hatiku bersedih ketika fajar terbit kerana siang segala dengan segala penyakitnya sudah datang."
Imam As-Syafi'i
Ar-Rabi' bin Sulaiman berkata: "As-Syafi'i membahagikan malamnya kepada tiga bahagian. Bahagian pertama untuk menulis, bahagian kedua untuk bersolat dan bahagian ketiga untuk beristirehat."
Husain al-Karabisi menceritakan, "Suatu malam, saya bersama as-Syafi'i. Dia solat hampir sepertiga malam. Dia membaca al-Quran tidak lebih daripada lima puluh ayat. Jika dia ingin membaca lebih banyak, dia membaca seratus ayat. Setiap kali dia membaca ayat tentang rahmat, dia bermohon kepada Allah SWT untuk dirinya dan seluruh kaum mukmin. Sebaliknya, setiap kali dia membaca ayat tentang seksaan, dia memohon perlindungan pada Allah SWT dan memohon keselamatan dirinya dan untuk kaum mukmin. Pada masa seperti itu, dia seakan-akan menggabungkan harapan dan rasa cemas."
Sufyan ats-Tsauri
Abdurrahman bin Mahdi berkata. "Dalam masyarakat, aku tidak menemukan teman yang lebih lembut daripada Sufyan ats-Tsauri. Malam demi malam, aku selalu memerhatikannya. Dia tidur pada awal malam, lalu dia bangun ketakutan sambil berkata, "Neraka, neraka! Mengingati neraka telah membuatkanku lupa pada tidur dan syahwat." Kemudian, dia berwuduk dan selepas itu, dia berdoa.
"Ya Allah, sungguh Engkau Maha Mengetahui keperluanku tanpa (perlu) ada yang memberitahu. Namun aku hanya mengharapkan pembebasan dari nereka. Ilahi, Ketakutan menyebabkan aku tidak dapat tidur, dan itu adalah nikmatMu kepadaku. Ilahi, Sekiranya, aku dibolehkan untuk menyendiri, nescaya aku tidak akan bergaul dengan orang lain, biar sekejap sekalipun."
Kemudian, dia bersolat lagi. Namun tangisan membuatnya tidak sanggup membaca al-Quran, hingga aku tidak dapat mendengar bacaan solatnya."
Malik bin Dinar
Al-Mughirah bin Hubaib berkata, "Pada suatu malam, aku menemani Malik Bin Dinar. Selepas bangun untuk solat, dia selalu memegang janggutnya dan menangis tersedu-sedu. Dia berdoa, "Ya Allah, hindarkan diri Malik yang gelisah ini dari neraka. Ya Allah, Engkau Maha Tahu siapa penghuni syurga dan siapa penghuni neraka serta di mana Malik akan menetap." Dia terus membaca doa tersebut hingga terbit fajar."
Malik bin Dinar berkata. "Andainya aku dapat terus berjaga, aku pasti tidak akan tidur kerana takut seksa datang ketika tidur. Andainya aku memiliki pembantu, tentu aku akan hantar mereka ke pelbagai tempat untuk menyeru, "Wahai manusia, takutlah neraka, takutlah neraka."
Abu Sulaiman ad-Darani
Dia berkata, "Demi Allah SWT, sekiranya tidak ada malam, nescaya aku menyukai dunia ini. Demi Allah SWT, mereka yang bangun malam mendapat kelazatan yang lebih besar dalam malam yang dilaluinya berbanding dengan mereka yang lalai dalam tidurnya. Kelazatan itu meresap ke daam hati ketika berzikir pada Allah SWT."
Sulaiman ad-Darani berkata, "Kadang-kadang, aku menyelesaikan tafakur untuk satu ayat dalam lima kali solat malam. Sekiranya tidak bertafakur, aku mungkin tidak akan memahami ayat itu. Kadang-kadang, satu ayat membuat orang yang memikirkannya pengsan. Maha Suci Allah SWT yang mengembalikan kesedaran kepada mereka."
Dzun Nun Al-Misri
Beliau berkata, "Ada tiga tanda ibadah , iaitu mencintai malam untuk berjaga dengan solat Tahajud dan menyendiri, membenci kelalaian yang timbul selepas subuh, dan segera berbuat baik kerana takutkan fitnah."
Al-Misri berkata, "Salah satu tanda cinta pada Allah SWT adalah meneladani akhlak, perbuatan, perintah dan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang tidak tahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tidak mahu tahu tentang itu adalah orang yang rendah darjatnya."
Muhammad bin Yusuf at-Thusi
Beliau berkata, aku membahagikan malam menjadi tiga bahagian; sepertiga untuk menulis, sepertiga untuk membaca al-Quran (dalam solat Tahajud) dan sepertiga lagi untuk tidur."
Al-Hakim berkata, "Antara guru-guru kami, aku tidak pernah melihat orang yang solatnya lebih baik daripada solat yang beliau lakukan. Beliau sering berpuasa dan solat Tahajud setiap malam."
Amr bin Dzarr
'Amr bin Dzarr menceritakan, "Ketika para abid (orang yang suka beribadah) melihat malam tiba dan kaum yang lalai menikmati tidurnya, mereka bangun menghampiri Allah SWT dengan gembira kerana dapat berjaga malam dan bertahajud. Mereka menyambut malam dengan tubuh dan muka yang menyentuh tanah. Ketika malam berlalu, mereka tetap merasai nikmat membawa (membaca) al-Quran. Mereka tidak berasa bosan dengan waktu ibadah yang panjang."
al-Khawash
Nama penuhnya adalah Abu Ishak bin Ahmad al-Khawash. Beliau adalah sahabat tokoh sufi yang bernama al-Junaid. Al-Khawas meninggal pada tahun 291 H. Beliau meninggal setelah menunaikan solat dua rakaat di dalam masjid. Beliaulah tokoh sufi ternama yang berkata, "Ada lima ubat untuk hati, membaca al-Quran serta maknanya, berlapar (puasa), mendirikan solat malam, berzikir malam waktu sahur, dan bersahabat dengan golongan orang soleh."
Di Indonesia pula, ramuan ubat hati tersebut disebarkan oleh salah seorang daripada wali sembilan, dengan istilah Jawanya, iaitu "tombo ati" (ubat hati).
Rabi'ah al-'Adawiyah
Apabila Al-'Adawiyah bersolat isyak di akhir waktu, lama betul dia mengerjakannya sambil mengetatkan baju dan hijabnya. Sesudah bersolat, dia berkata,
"Ilahi bintang-bintang telah terbenam, orang telah tertidur, pintu-pintu istana raja telah ditutup, dan setiap orang berdua dengan kekasihnya; inilah aku berdiri di hadapanMu."
Kemudian, dia bersolat lagi. Di akhir malam dan ketika fajar terbit, dia berkata, "Ilahi malam telah berlalu, dan siang akan menjelang, apakah Engkau menerima ibadahku pada malam ini hingga aku dapat berbahagia, atau Engkau menolaknya sehingga aku (patut) berduka? Demi keagunganMu, inilah kebiasaanku sepanjang Engkau memberikan kehidupan kepadaku. Demi keagunganMu, jika Engkau mengusirku dari pintuMu, aku tidak akan pergi kerana aku yakin akan kemurahan dan kemuliaanMu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan