Isnin, 17 Oktober 2016

Sedekah Itu Ajaib !

Hari ni aku nak share tentang Nikmat bukan pasal pakcik yang nama Nik Mat yea. Jangan salah faham di situ... Heeeee

Aku hanya ingin berkongsi cerita tentang segala nikmat hidup yang telah dikurniakan oleh Allah Yang Maha Kaya kepada diriku selama aku hidup. Dia memberikan rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Maha Suci Allah Yang Maha memiliki seluruh cakerawala alam semesta ini. Demi Kemuliaan-NYA aku adalah hamba-NYA yang kerdil, yang sering kali lupa untuk bersyukur. Alhamdulillah.




Ramai orang bertanya kepada aku. Samada kawan-kawan terdekat mahupun keluarga. 

"Mung ni gaji berapa ribu, belanja macam pitih dok habis, gi berjalan situ sini, macam mok datin nih"

Alhamdulillah ramai insan yang concern tentang diri aku. Terima kasih semua. 

Satu perkara yang aku ingin kongsi dengan kawan2 tentang nilai Sedekah & Rezeki. Ia adalah saling berkait rapat. Kita perlu yakin dengan sepenuh hati bahawa Allah swt adalah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya. Dialah yang berkuasa untuk memberikan sebutir nasi kepada seekor burung. Dia juga Tuhan yang berkuasa untuk memberikan air kepada seekor biawak di padang pasir yang tandus. Sesungguhnya Dia Yang Maha Kaya yang memiliki kekayaan yang tidak akan pernah habis sampai bila-bila. 

Setiap rezeki yang kita perolehi, samada dengan jalan berkerja mahupun berniaga itu semua adalah dari Allah. Dia telah menetapkan untuk kita sebanyak mana rezeki kita setiap hari setiap bulan & setiap tahun hinggalah ke akhir hayat kita.

Teringat ceramah yang berbahagia Ustaz Ahmad Dasuki tentang Menghadapi Saat Kematian, apabila malaikat datang kepada jiwa yang hendak dicabut nyawa-nya maka dia berkata :- 

"Hai Ruh, aku mencari setitik air untuk kamu sudah tiada, aku mencari sesuap makanan untuk kamu makan sudah tiada, aku mencari selangkah kaki untuk kamu melangkah sudah tiada...."  

Maka fahamlah kita, bahawa dikala nyawa sudah kian berakhir itu bermakna rezeki yang ditetapkan untuk kita juga sudah kian habis. Bagaimana dengan simpanan duit puluhan juta di bank2. sesungguhnya itu milik orang lain. Harta-harta itu hanya singgah kepada kita buat sementara waktu sahaja. Jika kita mempunyai akal yang waras & bijak, pastilah kita akan menjadikan harta itu milik kita yang abadi dengan  BerSEDEKAH. Nilai yang kita keluarkan itu, itulah milik kita yang hakiki, ia telah ditukarkan ke dalam bentuk PAHALA. Yakinlah tiada seorang pun yang rajin bersedekah menjadi miskin melainkan semakin ditambah rezekinya. 

Perumpaan yang mudah untuk difahami, apabila kita hendak melancong ke Singapore, kita harus tukar duit MYR kepada SGD. Begitulah juga jika kite hendak berpindah dari alam Dunia kepada alam Akhirat nilai itu juga harus ditukar sesuai keadaan di sana.

Kereta yang kita miliki bila-bila masa saja boleh di curi orang. Rumah yang kita ada, bila-bila masa saja boleh hangus terbakar di jilat api. Jadi mana satu milik kita? Milik kita apabila kita membelanjakan harta itu ke jalan Allah, berinfak, bersedekah, berzakat & membelanjakan harta ke jalan yang di redhai. Itulah rezeki kita ! 

Yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah itu Maha Pemurah. Dia Maha Kaya. Boleh sahaja dia jadikan di bawah rumah kita itu Lombong Emas. Tetapi Dia lebih mengetahui keperluan diri kita. Boleh sahaja DIA gerak-kan hati sesiapa sahaja untuk memberikan sumbangan mahupun derma 2.6 billion ringgit kepada kita :)) Tidak mustahil kan? 

Dunia yang kita nikmati ini ada hukum alam-nya. Samada kita ingin percaya ataupun tidak itu terpulang. Melalui pemerhatian yang aku buat selama ini. Aku membuat satu kesimpulan bahawa dunia ini memang ada hukum alam-nya yang kita tidak sedari. Seperti hukum Graviti, Hukum tenaga & sebagainya. 

Allah swt juga berjanji kepada sesiapa yang bersedekah akan dilipat gandakan kepada 700 kali ganda, 

“Setiap amal baik manusia akan diganjar kebaikan sehingga 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, karena puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya” 

(HR. Muslim no.1151)

Kenapa Allah berikan dalam bentuk angka, boleh sahaja Allah katakan akan dilipat ganda sebesar gunung everest. Tetapi kerana alam ini ada Matematiknya. Dari situ aku semakin jelas bahawa alam ini punyai Hukum yang kita tidak ketahui. Duduk & berfikirlah sejenak, mudah2n dibukakan segala "hijab" untuk kita memahami hakikat kehidupan yang sebenar. Bukan sahaja untuk kenikmatan dunia tetapi juga untuk kebahagiaan alam akhirat yang penuh dengan 1001 kenikmatan.

Dulu semasa zaman persekolahan peringkat menengah, seorang ustaz pernah berkata, Nikmat dunia ini tidak dapat dibandingkan dengan nikmat akhirat. Tidak terfikir oleh akal bertapa hebatnya alam akhirat itu. Oleh kerana itu Allah swt berikan dunia ini kepada sesiapa sahaja yang berusaha untuk mendapatkan-nya, samada dia beriman mahupun tidak, dia Islam mahupun Kafir, dia taat mahupun derhaka, samada manusia ataupun Haiwan semua-nya mendapat bahagian di dunia ini. Itulah yang dinamakan dengan Sifat Ar Rahman Allah swt. Sepertinya Allah telah menetapkan suatu hukum alam untuk manusia menikmati dunia dengan pelbagai cara. Kerana Dia tidak sedikitpun peduli dengan nikmat dunia yang di sediakan ini, kerana nikmat itu terlalu sedikit. Maka sesiapa yang ingin mengejar dunia, maka dia harus meneliti hukum alam. Kerana setiap kejadian Allah itu ada perkiraan yang Maha Teliti lagi Maha Hebat.


Apakah kaitan dengan memberi sedekah & bersyukur? Sekiranya kamu bersyukur akan aku tambahkan nikmatku kepadamu. Maka bersyukurlah dengan menginfakkan sebahagian harta yang kita ada. Jika ada RM100. maka sedekahkanlah sebanyak mana yang termampu. Pokok pangkalnya kita yakin bahawa Allah akan menggandakan rezeki kita. 

Jika kita berasa hebat dengan suatu teknologi "Drone" sebagai tentera pengintip. Allah telah lama menghantarkan tenteranya (malaikat) yang tidak terlihat oleh mata, tidak terdengar oleh telinga yang berada di bahu kanan & kiri kita untuk mencatat segala amal perbuatan kita. Subhanallah !

Antara perkara ajaib yang sering aku alami setiap kali aku memberikan sumbangan/sedekah kepada sesiapa sahaja. Dengan izin Allah perkara yang aku sedang usahakan menjadi mudah & berhasil tanpa apa2 masalah. 

Nilai keuntungan Saham meningkat dari hari ke hari. Keuntungan menjadi berlipat ganda, aku sedar setiap kali nikmat itu singgah kepada-ku, ia adalah pemberian Allah swt, dan aku sedar, di dalam setiap rezeki-ku itu ada juga bahagian insan lain yang perlu aku penuhi dengan bersedekah & berzakat. 

Pada hari2 yang seterusnya aku bertemu pula dengan seorang insan yang kelihatan begitu naif. Aku tumpangkan dia ke tempat yang ingin dituju. Tidak lama selepas itu bantuan Allah itu datang secara tiba-tiba, terasa semua perkara yang aku lakukan itu seperti sedang dibantu oleh satu kuasa yang maha hebat. 

Bila berhadapan dengan seseorang yang pada hakikatnya dikenali kesombongan & kesukaran untuk berurusan dengannya tetapi bila aku datang kepada manusia itu, sambil di dalam hatiku berkata:-

"Ya Allah permudahkanlah urusanku dengan-nya, sesungguhnya engkau sebaik-baik yang mengurus" 

Subhanallah tiba-tiba saja manusia itu berlemah-lembut denganku. Segala perkara yang sukar diselesaikan menjadi semudah ABC. Siapakah yang punya kuasa untuk membolak-balik-kan hati manusia ?? 

Aku ingin selalu dipuji manusia, Maka aku memuji Tuhan-ku pada setiap pagi & petang. Tanpa aku sedari, dalam diam ramai manusia yang memuji-ku tanpa aku ketahui. Sambil tersenyum aku berbisik sendiri, "Demi Allah engkaulah Tuhan yang maha Tinggi lagi maha Agong, Ampunilah aku kerana sering kali lupa memuji-mu sedangkan engkau selalu menjaga sebutan namaku di kalangan hamba2mu"

Maha Suci Allah. Aku yakin dia sentiasa ada untuk diriku pada setiap masa & ketika. Dia mengaturkan segala rezeki untuk-ku sekali pun aku tidak bersusah payah untuk mendapat-kannya. Dan apabila aku memperolehinya, aku tahu itu adalah pertolongan dari Robbi untuk diri-ku. 

Demi Allah dan Ke-Agongan-nya, 
Dia menjaga-ku dengan sebaik-baik penjagaan, 
Yang mendengar segala keluh kesah yang aku khabarkan, 
Yang sentiasa membantu-ku tepat pada ketika-nya, 
Yang sentiasa memenuhi segala keperluanku, 
Yang sentiasa menjadi pelindung-ku,
Yang sentiasa memaafkan segala kesilapan & keterlanjuran-ku,
Yang membuka jalan Petunjuk & Hidayah kepadaku,
Yang sentiasa Kasih kepadaku
Dia-lah Allah yang aku sedari keberadaan-nya yang Maha Tinggi 
Setelah mana arwah ibu-ku pergi meninggalkan aku seorang diri di dunia fana ini. 

Dalam setiap doa, aku mengungkapkan kata-kata :- 

"Ya Allah engkau telah mengambil ibu yang aku kasihi daripadaku, yang sentiasa mendengar segala rintihan hati-ku, yang sentiasa cuba menyelesaikan segala kesulitan hidupku, yang sentiasa sayang kepada-ku walau aku sering menyakitinya, yang sentiasa menceriakan hari2ku yang suram. Maka janganlah engkau biarkan aku sendiri tanpa engkau kembalikan sesuatu yang lebih baik dari itu untuk-ku, kerana engkaulah Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani"

Setiap kali kesulitan demi kesulitan datang bertandang ke dalam hidup kami, maka akan aku katakan :- 

"Allah ada & dia tidak akan membiarkan hamba yang sentiasa taat kepadanya berada di dalam kesulitan & kepayahan hidup, insyaAllah bantuan akan tiba"


Bersangka baiklah kepada Tuhanmu (ALLAH) kerana dia akan berurusan dengan hamba-hambaNYA mengikut prasangka hambaNYA terhadapNYA.



       Wallahualam       



Tiada ulasan:

Catat Ulasan